Penyebaran sesuatu berita tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran perkara tersebut adalah satu fenomena yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Akan tetapi, ianya bukan suatu perkara baru. Semasa zaman Rasulullah dan para sahabat, fenomena ini biasanya dijuarai oleh munafiqin di Madinah pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul. Sekiranya membaca keseluruhan tafsir surah al-Taubah, kita akan dapat potret gambaran yang jelas kerja-kerja kumpulan munafiqin dalam merosakkan imej Rasulullah dengan menyebarkan berita yang belum disahkan kebenarannya.
Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai aplikasi internet seperti website, weblog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.
Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.
Kalau tidak percaya, bagi mereka yang mempunyai blog, cuba masukkan entri dengan tajuk yang panas seperti wanita melayu berbogel, sejadah sujud, ulamak rasuah atau ahli parlimen berkhalwat, nescaya blog anda akan panas dengan hit yang tinggi.
Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan.
Ada yang membuat kerja sebegini kerana mereka merasakan perbuatan itu amatlah makruf. Rasa terhormat dan mulia dengan tindakan mereka itu, lalu diprojekkan diri mereka dengan imej yang baik dan intelek, dengan menyatakan contohnya Saidina Umar yang ditegur dengan wanita dengan amaran pedangnya secara terbuka. Di dalam Islam, kita dilarang menyapu ‘habuk di bawah karpet’. Di dalam Islam, perlu ada check and balance. Di dalam Islam, perlu ada amar makruf dan nahi munkar. Maka, absahlah kerja-kerja mereka.
Walau apa pun juga pegangan kita di dalam fenomena hebah-hebah ini, satu perkara yang dipersetujui oleh semua, akan tetapi bukan semua menginsafinya, iaitulah apa jua yang kita ucapkan dan kita tulis, akan dicatat oleh Allah SWT sebagai bahan bukti mahkamah akhirat kelak. Firman Allah dalam surah Qaf ayat 18:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (merekodnya).
Al-Quran sebenarnya telah menyentuh akan fenomena ini. Berfirman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 83:
وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيل
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)
Di dalam semua kitab tafsir muktabar, diperjelaskan bahawa ayat ini menceritakan akan perihal manusia ketika mendengar berita yang menyenangkan atau kurang menyenangkan. Dalam konteks ketika penurunan wahyu ini, perkara yang menyenangkan (الامن) itu diterangkan sebagai berita kemenangan tentera Muhammad, sementara berita yang tidak menyenangkan (الخوف) itu merujuk kepada berita kekalahan umat Islam. Ketika tibanya khabar angin seumpama itu, maka orang munafiq hakiki, dan juga mukmin yang terpalit dengan sifat al-nifaq akan bersegera untuk menghebahkannya kepada orang lain tanpa langsung ada sikap untuk memeriksa kebenarannya. Tujuannya, pelbagai. Diterangkan dalam kitab tafsir, sebahagiannya bertujuan untuk menunjukkan dirinya sebagai manusia hebat kerana sering mendapat berita dan maklumat terkini lagi sensasi. Selain itu, ada juga yang menghebahkannya untuk tujuan memburukkan imej Rasulullah, contohnya semasa peristiwa khabar ifki. Ada yang bertujuan untuk melemahkan psikologi umat Islam yang lain. Ada yang bertujuan untuk mempermainkan emosi Rasulullah. Dan tidak kurang juga yang melakukannya sebagai perang saraf untuk melemahkan semangat umat Islam ketika itu.
Watak yang memainkan kisah itu semasa zaman Rasulullah dan juga para sahabat adalah ramai. Yang termasyhur ialah Abdullah bin Ubai bin Salul. Walaupun dalam satu riwayat disebut bahawa jenazah beliau disembahyangi dan dikafankan dengan jubah Rasulullah (kerana politik pintar nabi dan juga rasa hormat kepada permintaan anak beliau yang Muslim) sehingga membangkitkan bantahan Umar, akan tetapi Rasulullah berkata yang jubah baginda tidak dapat menghalang perbuatan Abdullah bin Ubai yang ketika hidupnya suka menjadi tukang hebah dan wartawan sensasi, daripada dibaham api neraka. Di dalam ayat di atas, kumpulan ini disifatkan sebagai mereka yang mengikut jejak langkah syaitan.
Itu kumpulan pertama, yang apabila dapat berita atau khabar angin, terus menghebahkannya kepada massa. Akan tetapi, di sana ada kumpulan kedua, yang mana ketika didatangi dengan maklumat sama ada yang sejuk atau yang panas, maka sikap mereka ialah merujuk kepada Allah, Rasul, dan juga orang-orang yang berautoriti di kalangan mereka. Ulil amri saya terjemahkan sebagai orang yang berautoriti, supaya kita tidak sempit memahaminya sebagai semata-mata pemimpin negara sahaja. Ia boleh jadi sebagai naqib, pengerusi persatuan, bapa, cikgu dan seumpamanya, bergantung kepada siapa kita dan bentuk berita dan maklumat yang sampai. Ini kerana orang-oang yang berautoritilah mampu untuk memberikan pengesahan dan penjelasan sebenar terhadap maklumat tersebut.
Akan tetapi, Allah memberitahu kita bahawa kumpulan kedua ini hanyalah sedikit sahaja. Mereka ini ialah golongan minoriti di dalam masyarakat. Justeru, golongan minoriti seumpama ini biasanya sukar untuk memperbetulkan yang salah dan meluruskan yang bengkok.
Menjadi mangsa fitnah atau berita mengenai diri dihebah tanpa kebenaran di media baru, adalah satu perkara yang perju dijangka oleh para pendakwah. Pun demikian, sehebat mana sekalipun pendakwah itu, perasaan kecil di dalam hatinya akan tersentuh juga apabila berhadapan dengan fitnah seumpama ini. Apatah lagi sekiranya fitnah itu datang daripada orang-orang yang hampir dengannya, seperti sahabat karib, pembantu peribadi dan juga rakan setugas.
Sama seperti semua orang, saya juga pernah mengharungi fitnah seumpama ini. Memang sedih juga sekiranya fitnah ini datang daripada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Kadang-kadang gaya percakapan kita disalahertikan lantara perbezaan budaya bahkan dialek, lalu dihebahkanlah ‘kebiadaban’ kita. Lantas disimpanlah perasaan benci yang membuak-buak selama bertahun-tahun tak berkesudahan. Pantang nampak , habis dibelasahnya. Pantang bersuara, walaupun menerusi institusi musyawarah, habis dibantahnya dengan fitnah yang ditokok-tambah. Nak nampak baik, maka dihiasilah dengan al-Quran dan al-Hadith. Lalu ditaburlah onar serta duri dalam perjalanan dan pergerakan kita. Memang jijik juga kadang-kadang, apatah lagi saya pernah mendengar rakaman langsung sesetengah sahabat karib yang melakukan pembohongan terang-terangan ke atas diri saya untuk kepentingan serta kepuasan dirinya.
Sekiranya kita berhadapan dengan fitnah seumpama ini, jalan terbaik yang perlu kita ambil ialah bersabar sahaja. Walaupun kadang-kadang sampai tahap dituduh sebagai munafiq, atau ada ciri-ciri orang munafiq, biarlah si tukang fitnah ini memuaskan hati dan melepaskan geramnya. Dalam bersabar, perlu rasa simpati dengan mereka kerana begitu mudah mendapat dosa. Kita akan jadi mulia sekiranya kita terus memberikan kemaafan kepada mereka, dan walaupun tanpa sebab, kita memohon ampun kepada mereka. Dalam kehidupan berdakwah, kita perlu kenal siapa musuh kita. Perlu menghalusi apa kerja kita. Bukanlah rakan-rakan sekeliling kita itu perlu dijadikan musuh. Dan bukanlah membalas kesilapan kawan dengan kejahatan yang lain itu merupakan kerja kita. Musuh kita ramai di luar sana, dan kerja kita juga amat banyak belum terlaksana.
Tukang penyebar fitnah seumpama ini, sekiranya mereka betul-betul musuh dan munafiq hakiki, maka itu adalah kerja mereka. Berhadapan dengan mereka perlu meniru politik pintar nabi ketika berhadapan dengan munafiq di Madinah. Tetapi sekiranya ia datang daripada orang dalam dan orang sekeliling yang terdiri daripada orang-orang Mukmin, maka mereka perlu insaf dan sedar. Dalam perbahasa mengenain beriman kepada Rasul, bukankah kita sepatutnya beri’tiqad bahawa hanya Rasulullah sahaja insan yang ma’sum dan sempurna? Ini bermakna yang manusia lain, walaupun bertaraf presiden, perdana menteri, ustaz atau tuan guru, tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Apabila rakan muslimnya melakukan kesilapan, maka kita perlu bersedia untuk menerimanya dan memaafkannya. Itu tanda iman. Kalau betul-betul salah dan munkar, maka tegurlah dengan cara yang sepatutnya, berhadapan atau melalui orang-orang yang berautoriti seperti dalam firman Allah dan sabda Nabi. Sekiranya kita terus marah, lalu menghebahkannya kepada massa, itu merupakan tanda yang iman kita terhadap ketidakma’suman orang lain selain Rasulullah, sedikit bermasalah, lantaran kita menonjolkan sendiri sikap kita untuk tidak menerima kesilapan manusia biasa.
Bagi yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut:
انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي
Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.
Ketika berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman, ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala fitnah. Ini termasulah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul. Dalam masa yang sama, ada juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut, seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi korban.
Sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog sebagai contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan kesalahan orang lain. Sedangkan dalam ilmu tazkiyatunnafsi, para ulamak salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita buat untuk orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila kesilapan orang lain itu akan diingati, maka sentiasa ‘berjagalah’ fitnah itu.
KESIMPULAN
Gejala cepat menghebahkan berita ini adalah suatu fenomena yang akan berterusan sehinggalah qiamat kelak. Berdasarkan pemerhatian, gejala ini berlaku antara lain kerana:
a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah berita pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas kelak di hari akhirat.
Sedang kita mengiktiraf terdapat beberapa jenis kemungkaran yang sekiranya nyata dan jelas kesalahannya, yang ada keperluan menghebahkannya untuk mencegahnya berulang kembali, akan tetapi perlu diingati yang bahawa berita yang masih samar atau sekadar didengari daripada pihak ketiga, perlulah diperiksa kesahihannya dan dinilai sama ada perlu dihebahkan atau sebaliknya.
Sekiranya tangan masih menggatal ingin menulis fitnah, serta lidah masih menebal untuk bercakap, apa kata kita didik tangan dan lidah kita supaya takutkan Allah. Berkatalah perkara yang baik dan pasti sahaja kebenarannya. Yang selamat, ialah berdiam sahaja. Sabda nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا او ليصمت
Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkata baiklah kamu atau diam sahaja.
Aduhai, alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk hebah dan fitnah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak.
Petikan : http://abidfana.com/2009/11/27/mudahnya-ke-neraka-dengan-media-baru/#more-659
saya suka entry ini. Terima kasih :)
ReplyDelete